Bentuk Akhlak Anak-Anak Adalah Tugas Terpenting Ibu Bapa

on Rabu, 14 September 2011
Di dalam tafsir al-Manar dinyatakan bahawa Allah menjadikan berbagai-bagai ikatan di antara manusia sebagai alat berkasih sayang saling bantu-membantu bagi mendapatkan keuntungan dan menghapuskan bencana. Dan ikatan yang paling kuat ialah ikatan kekeluargaan. Di antara hubungan yang terkuat ialah hubungan anak dan ibu bapa. Dalam hal itu ibu bapa memang mengharapkan kejayaan untuk anaknya, maka pandangan anak terhadap ibubapa adalah amat mendalam. Oleh itu kasih sayang antara anak dan ibubapa tidak sepatutnya dirosakkan.

Ada kalanya penglibatan dan tanggungjawab ibu bapa di dalam masyarakat yang mempunyai taraf yang tinggi serta banyak wang menyebabkan mereka kurang bertanggungjawab secara terus dan hanya menyogokkan anak-anak dengan barang-barang dan membelikan apa sahaja yang difikirkan tanpa menilai erti kemesraan, melupakan kasih sayang yang sewajarnya. Sewajarnya segala aspek pemeliharaan, perlindungan dan pengesahan ibu bapa adalah penting di dalam melahirkan anak-anak yang bakal menjadi ahli masyarakat. Anak-anak yang kurang perlindungan seumpama anak yang terbiar tiada kawalan. Dan aspek terpenting di dalam membentuk disiplin anak-anak ialah peraturan, kemesraan dan hukuman. Namun jika terlalu dikenakan hukuman dan peraturan tanpa kemesraan, anak-anak tentunya tidak dapat berterus-terang dalam sesuatu hal atau masalah. Lantaran itu tidak mustahil anak-anak mula mencari sesuatu di luar atau bergaul dengan kumpulan dan kelompok tertentu seperti menagih dadah, sosial dan sebagainya yang dianggap sebagai penyelesai masalah serta memahami jiwanya. Demikian juga jika seseorang anak mendapat kemesraan yang berlebihan tanpa sebarang hukuman, maka tidak mustahil anak-anak ini juga akan menjadi terlalu manja dan mengharap.

Sebagai ibu bapa tentunya mengharap masa depan serta kariar anak-anak mereka adalah yang terbaik lantaran itu ibubapa akan memilih sesuatu yang terbaik pada pandangannya tanpa menghitung sama ada ianya sesuai ataupun tidak bagi anak-anaknya. Lazimnya anak-anak masa kini terlalu dikongkong dengan jadual pelajaran. Pulang dari sekolah mereka dihantar ke kelas tambahan kemudian ke kelas agama, ke kelas piano dan bermacam-macam lagi. Namun apa yang paling ideal bagi seorang anak ialah sajian pelajaran yang menceriakan hatinya yang membolehkan anak-anak merasa gembira aman tanpa rasa ada masaalah. Di dalam usaha untuk menanamkan roh keislaman di dalam jiwa anak-anak, ibu bapa seharusnya memahami runtunan dan kehendak jiwa mereka. Suatu penekanan sekatan, larangan yang dibuat secara mendadak tanpa dihalusi secara terperinchi mungkin akan memburukkan lagi keadaan. Lantaran itu anak-anak seharusnya diberi kebebasan untuk melakukan perkara yang tidak keterlaluan di samping menyarankan agar mereka berfikir di dalam membuat sebarang pertimbangan. Dalam hal ini perbincangan adalah sangat perlu.

Ibu bapa seharusnya mengorientasikan diri mereka dan mendidik mengikut ajaran Islam. Mereka perlu mendisiplinkan diri mereka sendiri supaya teguran dan ajaran akan benar-benar wujud dan berkesan. Wujudnya sikap anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa adalah disebabkan ibubapa itu sendiri yang lemah peribadi. Rosak atau tidaknya akhlak anak-anak adalah bergantung kepada sejauh mana baik atau buruknya didikan yang diterima oleh mereka. Ini jelas sebagaimana yang disabda oleh Rasulullah s.a.w. bermaksud, “Anak yang dilahirkan ke dunia ini adalah bersih dan suci laksana kain putih dan terserahlah kepada penjaganya di dalam mencorakkan mereka samada mahu menjadikan seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

0 komentar:

Posting Komentar